Haji
| Haji Mabrur | Falsafah
Haji | Adab Haji | Sejarah
Haji | Kurafat
| FALSAFAH
HAJI |

|
MENUJU
KE JALAN ALLAH | PENGGUNAAN
HARTA | IBADAH
HAJI BEKALAN UNTUK AKHIRAT | PENGORBANAN
HAJI | MANFAAT
HAJI | SIFAT-SIFAT
KEIMANAN | MENGHAYATI
FALSAFAH HAJI | SIFAT-SIFAT
TERPUJI DAN TERCELA | MEMAHAMI
HAKIKAT PEKERJAAN HAJI | MEMPERBANYAKKAN
AMAL IBADAT
MENUJU
KE JALAN ALLAH
Kita hendaklah
sentiasa bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan taufik dan
hidayah-Nya kepada kita sehingga dengan berbekalkan iman yang teguh kita
telah dapat mencari penentuan hidup yang diredhai Allah. Kita juga harus
bersyukur kerana kita telah dan dipilih oleh Allah menjadi tetamu-Nya
dengan mengunjungi Baitullah bagi menunaikan fardhu haji. Insya-Allah.
Mudah-mudahan Ibadat
Haji yang akan dikerjakan menjadi satu ibadat yang boleh memberikan satu
pengajaran dan pedoman bagi meningkatkan iman dan amal kita seterusnya
bagi menuju jalan yang diredhai Allah untuk kebahagiaan kita di dunia dan
akhirat.
Kembali
ke atas
PENGGUNAAN
HARTA
Menunaikan fardhu haji
diwajibkan kepada mereka yang berkuasa sampai kepada-Nya, yakni mereka
yang mempunyai kemampuan dalam semua aspek, khasnya kemampuan perbelanjaan
di mana aspek tersebut jika digunakan bagi tujuan menyampaikan diri ke
Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji adalah menepati kehendak kegunaan
harta yang sebaik-baiknya.
Kembali
ke atas
IBADAH
HAJI BEKALAN UNTUK AKHIRAT
Ibadat haji selain
daripada berfungsi mensucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang
tepat menuju akhirat setelah sekian lama kita hidup di dunia yang fana
ini. Sesungguhnya mereka sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa raga
untuk memperhambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah, mereka
tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk dan hidayah serta
ketinggian martabat iman di sisi Allah.
Kembali
ke atas
PENGORBANAN
HAJI
Setiap ibadat yang
sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan
yang perlu dicurahkan. Ibadat haji khususnya bukan sahaja mengorbankan
tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang dikumpulkan bertahun-tahun,
bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung perpisahan dengan
keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung
halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram.
Ia juga merupakan satu
pengorbanan yang luarbiasa dari kelaziman menunaikan ibadt-ibadat lain
dalam hidup kita sepanjang tahun, umpamanya sembahyang lima waktu boleh
dilakukan dalam rumah sendiri, di bilik berkipas atau berhawa dingin,
begitu juga puasa boleh berbaring-baring malah tidur pun boleh di bilik
yang selesa dengan tidak perlu keluar rumah.
Ibadat haji tidak
memungkinkan seseorang itu mencapai kehendak ibadatnya dengan begitu
mudah, kita perlu menghadirkan diri kita ke Tanah Suci dengan keadaan yang
luar dari kebiasaan. Dalam ertikata lain, kita mesti keluar dari kelaziman
dan kesenangan yang diterima selama ini, di mana keadaan di Tanah Suci
tidak memberi peluang untuk kita menikmati keselesaan seperti di negara
sendiri. Kita terpaksa berkhemah di Arafah dan Mina dengan pakaian putih
di atas padang pasir memperkata dan membisikkan sesuatu kepada Allah bagi
memohon keampunan dan keredhaan sebelum kembali kepada-Nya. Ibadat haji
merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah sudah tentu
mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar.
Firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 27 hingga 29, maksudnya:
"Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji,
nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang
kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh
pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang
mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan
menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah
mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban.
Dengan yang demikian makanlah darinya (daging qurban itu) dan berilah
makan kepada orang yang susah lagi fakir, (kemudian hendaklah membersihkan
diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakankan nazar-nazar mereka dan
hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya
itu)".
Dalam ayat tersebut
Allah memerintahkan supaya haji itu hendaklah disempurnakan sekalipun
dengan berjalan kaki atau berkenderaan menunggang unta yang kurus dengan
sebab jauhnya berjalan.
Setiap perintah ada
balasannya, balasan bagi haji ada dinyatakan dalam banyak hadis Rasulullah
SAW. Di antara hadisnya dari Abu Hurairah, maksudnya:
"Barangsiapa menunaikan haji ke Baitullah, sedangkan ia
tiada melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang dilarang, maka
bersihlah ia dari dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh
ibunya".
Kembali
ke atas
MANFAAT HAJI
Di antara
manfaat-manfaat haji yang dapat disaksikan oleh tetamu Al-Rahman melalui
haji ialah:
1.
Dapat berada di
Tanah Suci Makkah yang merupakan semulia-mulia bumi tempat lahir junjungan
besar Nabi Muhammad SAW.
2.
Dapat beribadat di
Masjidil Haram di hadapan Baitullahil Haram di mana pahalanya menyamai
atau melebihi sembahyang seratus ribu sembahyang di masjid lain.
3.
Dapat melihat dan
memandang Kaabah (Baitullahil Haram), kiblat seluruh umat Islam dalam
sembahyang di mana memandang Kaabah sahaja akan mendapat 20 rahmat, jika
bersembahyang kepada-Nya akan mendapat 40 rahmat dan jika melakukan tawaf
akan mendapat 60 rahmat.
4.
Dapat berada di
tempat-tempat yang paling mustajab berdoa sepeti di Multazam, di Hijir
Ismail, di Telaga Zam-Zam di mana airnya menjadi penawar kepada segala
penyakit dan menjadi sepertimana diniatkan.
5.
Dapat menjadi
tetamu Allah atau tetamu Al-Rahman yang akan diperkenankan segala
permohonan dan diampunkan jika memohon keampunan.
6.
Akan mendapat
peluang balasan syurga Jannatunnaim jika dapat menghasilkan haji yang
mabrur.
Dengan
kelebihan-kelebihan yang dinyatakan jelaslah bahawa nilai haji itu bukan
boleh diukur dengan wang ringgit atau apa-apa nilai di dunia ini tetapi
adalah harga bagi sifat keimanan dan ketakwaan yang menjadi hikmah di sisi
Allah.
Kembali
ke atas
SIFAT-SIFAT
KEIMANAN
Di antara tuntutan
sifat-sifat keimanan yang dikehendaki di sebalik ibadat haji ialah:
1.
Kesabaran
menghadapi ujian.
2.
Pengorbanan harta,
masa dan perasaan.
3.
Penanaman sifat
bergantung kepada Allah semata-mata di mana kebiasaannya keluarga, sanak
saudara, harta benda akan terpisah sebagai gambaran bahawa apabila berada
di alam Barzakh atau Padang Mahsyar nanti bergantung kepada rahmat Allah
setelah berpisah dengan harta benda dan segala kesayangannya.
Kembali
ke atas
MENGHAYATI
FALSAFAH HAJI
Sebaik cara supaya
pemergian kita ke Tanah Suci berhasil dengan kejayaan yang diredhai Allah
ialah dengan menghayati segala falsafah dan rahsia yang terkandung di
dalam ibadat haji itu sendiri yang bermula dengan menghidupkan roh haji
itu di hati sanubari sebelum kita bertolak ke Tanah Suci, mulakan azam
melatih diri awal-awal lagi memahami kehendak haji, walaupun kita belum
sampai ke Tanah Suci, namun kita seharusnya telah memulakan persiapan
dengan mengorak langkah mengkaji diri kita sendiri. Jangan letakkan diri
kita menunggu perubahan setelah sampai ke Tanah Suci atau selepas selesai
mengerjakan haji, tetapi sebaliknya kita cuba mengubah diri kita dahulu
mulai sekarang mengikut matlamat yang digariskan oleh haji. Sebelum kita
melontar jamrah, kita sepatutnya mula melontar sifat-sifat buruk dan keji.
Sebelum kita melaksanakan sembahyang 40 waktu di masjid Nabawi di Madinah
Al-Munawwarah, kita sepatutnya sudah membiasakan diri berjemaah di masjid.
Begitu juga kita sepatutnya banyak membaca al-Quran dan beriktikaf sebelum
melaksanakan tawaf dan bermunajaat di Masjidil Haram, Makkatul Mukarramah
dan banyak lagi contoh yang boleh diambil dari ibadat haji.
Kembali
ke atas
SIFAT-SIFAT
TERPUJI DAN TERCELA
Segala usaha yang
dilakukan dalam proses menunaikan yang diniatkan dengan ikhlas dan
dilaksanakan dengan sempurna sudah tentu Insya-Allah akan menghasilkan
haji yang diterima Allah. Dan biasanya seseorang yang telah menjalani
pengalaman mengerjakan haji dan mengambil segala manfaatnya, tidak kira
sama adaa orang awam atau pemimpin akan melakukan perubahan positif dalam
setiap gerak-gerinya, dalam percakapan, pemikiran, daya usaha, pergaulan,
pakaian dan seluruh muamalatnya atau dengan lain perkataan, mereka yang
mendapat manfaat dari haji itu akan mengamalkan sifat-sifat terpuji, sifat
terpuji (Al-Mahmudah) dan meninggalkan sifat-sifat yang tercela (Sifat
Mazmumah) dan akan menjadi individu atau pemimpin yang baik dan kesan
inilah yang perlu dihasilkan oleh setiap muslim yang memunaikan haji, jika
tidak, maka itu bermakna seseorang itu tidak mencapai apa-apa matlamat dan
manfaat dari ibadat haji.
MEMAHAMI
HAKIKAT PEKERJAAN HAJI
Berbahagia dan
berjayalah mereka yang dapat mencapai dan memahami hakikat pekerjaan haji
iaitu melaksanakan dan menghayati kehendak-kehendak haji dengan keimanan,
kesabaran dan penuh harapan kepada rahmat Allah.
Kembali
ke atas
MEMPERBANYAKKAN
AMAL IBADAT
Di Tanah Suci,
ambillah peluang membuat amal ibadat sebanyak-banyaknya, jangan membuang
masa di kedai-kedai atau pasar-pasar atau berjalan-jalan yang tidak
menguntungkan. Di sana masa terlalu suntuk untuk beribadat manakala
ganjaran pahala berlipat ganda. Semasa di Tanah suci, kita perlu
menyesuaikan diri dengan keadaan di sana supaya tidak berlaku sebarang
masalah kepada diri kita. Bersabarlah selalu, bertenang menghadapi
pelbagai cabaran dan sabar itu tanda-tanda orang yang beriman kerana di
dalam keadaan jemaah haji yang begitu ramai, sudah pasti banyak perkara
yang tidak disangka-sangka boleh berlaku.
Apabila kita telah
memahami keadaan yang akan berlaku, maka bersedialah menghadapinya, kerana
tiap-tiap sesuatu yang berlaku mempunyai makna dan hikmahnya di atas
kehendak Allah sebagai ujian dan dari ujian itu haruslah direnungkan
rahmat Allah dan mungkin ia merupakan tanda-tanda makbulnya doa hambanya
dan mendapat keampunan. Mungkin juga itu menandakan kasih sayang Allah
kepada kita untuk menerima balasan di dunia dan terselamat di akhirat
kelak.
Kita hendaklah berpegang teguh dengan ketetapan
hukum Allah di mana sahaja kita berada, kita hendaklah percaya dan rela
menerima ketentuan qada dan qadar yang sudah pasti ditetapkan oleh Allah
yang Maha Berkuasa dan membuang perasaan tidak puas hati. Perasaan marah
terhadap kesusahan yang kita tempuhi boleh diertikan sebagai kita tidak
berpuashati dengan qada dan qadar serta mencabar kuasa Allah. Ia juga
merupakan satu tindakan yang hanya akan mendedahkan rahsia diri sendiri
sebagai orang yang mempunyai dosa yang banyak dan ditimpa kesengsaraan di
Tanah Suci.
Kembali
ke atas
|