|
Haji
| Haji Mabrur | Falsafah
Haji | Adab Haji | Sejarah
Haji | Kurafat
|
AMALAN
KURAFAT DAN SIFAT-SIFAT TERCELA DI KALANGAN BAKAL-BAKAL HAJI
|
 |
Pengenalan
| Pengertian
Khurafat | Khurafat Sebagai Budaya Jahiliah | Khurafat
Menodai Ibadah Haji
| Pandangan Islam Terhadap Khurafat
| Khurafat Di Kalangan Jemaah Haji Asia Tenggara
| Khurafat Di Tanah Air Sebelum Tiba Di Tanah Suci
| Khurafat Di Tanah Suci
| Amalan Khurafat Dan Kaitannya Dengan Hukum Syarak
| Punca Amalan-Amalan Tercela Dan Terpautnya Seseorang
Kepada Amalan Khurafat
| Cara-Cara Menghindarinya | Tingkah Laku
Buruk Sebahagian Jemaah Haji
| Bagaimana Mengatasi Permasalahan Tersebut
| Penutup
PENGENALAN
Terdapat
ramai umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk
mengerjakan haji. Malah ada yang tidak memahami walaupun pada
perkara-perkara yang asas. Akhirnya, apabila mereka mengerjakan haji
terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan kesempurnaan ibadah
tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan
jemaah yang kurang arif tentang ibadah itu dan malu hendak bertanya kepada
orang yang tahu.
Disamping
tidak mendalami hukum-hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan
tentang hukum-hakam dalam ibadat maka berlakulah campur-aduk amalan ibadah
haji di antara yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak
ditinggalkan dan yang batil dikerjakan. Yang batil seperti amalan-amalan
khurafat dilakukan dengan sebaik-baiknya, dengan kefahaman bahawa
amalan-amalan itu dituntut oleh syarak sedangkan yang sebenarnya adalah
sebaliknya.
Sering
berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan
hukum syarak yang dicampurkan dalam ibadah haji terutama amalan khurafat
yang diadakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi
petua secara berbisik-bisik tanpa menggunakan sebarang kenyataan dari
nas-nas yang muktabar tentang perkara yang disebutkan itu. Akhirnya
amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun-temurun dari dahulu
hinggalah sekarang.
Kembali
ke atas
PENGERTIAN
KHURAFAT
Di
dalam kamus Al-Marbawi khurafat bererti cerita karut atau karut-marut. Di
dalam tafsiran yang lain pula khurafat juga disebut sebagai percakapan
yang tidak betul sama sekali.
Secara
umumnya khurafat bermaksud kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan
untuk menutup satu keaiban tentang akan berlakunya baik atau buruk
terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan kejadian-kejadian
alam yang berlaku. Dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa
bala-bencana atau membawa tuah keuntungan.
Kembali
ke atas
KHURAFAT
SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH
Masyarakat
Jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya
khurafat. Di antara khurafat mereka ialah mempercayai kepada arah burung
yang berterbangan, memberi kesan kepada nasib mereka.
Orang-orang
Arab Jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau sedang dalam
perjalanan menuju sesuatu tempat tiba-tiba kedapatan burung yang melintasi
mereka maka dikaitkan dengan sesuatu
kepercayaan tertentu. Malah mereka meletak nama-nama tertentu pada
keadaan burung yang melintasi mereka.
Dari
nama-nama tersebut lahirlah tafsiran yang khusus ada bala dan bencana akan
menimpa, ada tuah, ada keuntungan yang akan berlaku dan sebagainya dan
mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung
tersebut. Masyarakat Jahiliah juga percaya bahawa jika burung hantu
menghinggapi dan berbunyi di atas sesebuah rumah maka ertinya salah
seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan sebegini
mengakibatkan penghuni rumah akan berdukacita yang tidak terhingga kerana
kematian akan menimpa.
Kepercayaan
sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat Melayu di Tenggara Asia yang
terbawa-bawa dengan budaya Jahiliah hingga sekarang ini padahal semua itu
adalah khurafat belaka.
Kembali
ke atas
KHURAFAT
MENODAI IBADAH HAJI
Ibadah
haji adalah suatu ibadah yng semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak
dicampur aduk dengan yang batil. Lebih-lebih lagi amalan khurafat
hendaklah dijauhi sama sekali kerana ianya boleh mencemarkan ibadah haji
daan menjadikannya ibadah yang sia-sia. Perlu diingat bahawa khurafat
boleh membawa kepada syirik kerana ianya penentu persoalan ibadah. Kalau
sudah iktikad rosak kerana khurafat maka orang yang rosak ibadahnya tidak
akan mendapat apa-apa kebaikan dari ibadahnya.
Namun
demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak
menyedari mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak
menunaikan haji dan ada pula yang melakukannya ketika mereka berada dalam
ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji itu sendiri. Kepada
golongan ini seolah-olahnya apa yang diajarkan kepada mereka oleh
tuan-tuan guru yang mengajar atau oleh pengkursus-pengkursus haji adalah
tidak lengkap dan tidak sempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan
mengada-adakan berbagai-bagai perbuaatan yang tidak diajar oleh
orang-orang berkenaan lalu mereka menerima pakai petua-petua dari orang
yang tidak bertanggungjawab.
Khurafat
bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah
perkara besar yang mesti difahami dan diberi perhatian serius untuk
menjauhinya. Umat Islam jangan mudah menerima pakai sesuatu perbuatan yang
disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah amalan di dalam haji yang
dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut
diamalkannya. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan
secara sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh
atau tidak mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan menjauhkan yang
khurafat.
Kembali
ke atas
PANDANGAN
ISLAM TERHADAP KHURAFAT
Di
dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan
kepada Allah dan menolak kepercayaan terhaadap yang selainnya bagi
mendapat kebaikan daan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan
dan keyakinan hanya Allah. Kepada-Nya seluruh makhluk bergantung. Firman
Allah yang bermaksud:
“
Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon
kepadanya selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehendaki
ke atasku sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari
kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu
dianugerahkan kepadaku apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.
Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya.
Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakkal”. ( Surah Al-Zumar,
Ayat 38 )
Ayat
di atas memperlihatkan konsep tawakkal kepada Allah dalam semua keadaan.
Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan
segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu bukannya lintasan
burung atau sebagainya yang terdapat di dalam amalan khurafat.
Dari
Abu Hurairah R.A Rasulullah S.A.W
bersabda bermaksud:“
Tidak ada jangkitan ( yang berlaku tanpa izin Allah ), tidak ada buruk
sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak
ada bala pada bulan Safar ( seperti yang dipercayai ).”
Dari
Ibnu Mas’ud R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud:“
Buruk sangka ( di dalam amalan khurafat ) adalah syirik ( dua kali ) akan
tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.
Dari
Ibnu Amru R.A, katanya nabi pernah bersabda bermaksud: “ Sesiapa yang
kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu ( khurafatnya ) sehingga boleh
memesongkannya dari meneruskan hajatnya maka sesungguhnya ia telah syirik
( kepada Allah ). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang demikian itu.
Sabdanya: “ Hendaklah ia berkata Ya Allah tidak ada kebaikan melainkan
kebaikan Mu. Tidak ada yang buruk ( jahat ) melainkan kejahatan yang
datang dari Mu dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau”.
Semua
urutan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang tersebut jelas
memperlihatkan konsep baik, buruk hanya dari Allah. Allah yang mengatur
segala-galanya bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku
di dalam hidup ini yang boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan
kecelakaan manusia.
Khurafat
adalah karut-marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya
kepercayaan-kepercayaan yang sedemikian menghantui umat Islam sehingga
mencemarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat
Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka hanya kepada Allah seperti
firman Allah S.W.T yang bermaksud: “ Apabila kamu cekal bercita-cita (
maka teruskanlah ) dan bertawakkallah kepada Allah”.
Kembali
ke atas
KHURAFAT
DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA
Pengaruh
khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara
masih kedapatan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan
penghidupan. Di dalam perniagaan contohnya masih percaya kepada FONG SUAI.
Di dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari
rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gembala-gembala ikan dan
berbagai-bagai lagi.
Bukan
sahaja di dalam rezeki ada berbagai-bagai khurafat, hatta ketika hendak
melakukan ibadah kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat.
Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadah haji.
Kembali
ke atas
KHURAFAT
DI TANAH AIR SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI
- Tidak
boleh memijak bendul rumah, kalau dipijak alamat tidak akan balik
semula.
- Sesudah
bertolak dari rumah, tidak boleh pandang kembali melihat rumah, kalau
dipandang pekerjaan hajinya tidak sempurna, kerana hatinya
teringat-ingat ke rumah.
- Membawa
uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak
tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
- Setelah
balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut
sebagai ibadah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati.
Kalau melanggar sia-sialah haji.
Kembali
ke atas
KHURAFAT
DI TANAH SUCI
- Mesti
mencari tiang jin di dalam Masjidil Haram, peluk kuat-kuat boleh
memanjangkan umur.
- Boleh
menghadap toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara
mengadap tiang jin tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai
khadam.
- Jin
yang dibawa balik dari Makkah adalah jin yang baik.
- Menampal
duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa
balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan,
mendapatkan jodoh dan memurahkan rezeki.
- Memungut
anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik dengan tujuan jika
dicampak ke dalam kolam ikan maka ikan akan menjadi banyak. Jika
ditabur di kebun tanaman maka buah-buah akan menjadi. Jika diletak di
dalam kedai maka akan laris.
- Mencuri
tali-tali khemah di padang Arafah untuk dijadikan tangkal bagi tujuan
pelaris untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
- Membawa
balik tanah Arafah untuk upacara memijak tanah, buat pertama kali bagi
bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
- Tidak
boleh melihat cermin semasa dalam ihram. Jika dilihat muka akan
menjaadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
- Menyapu
tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
- Mengetuk
pintu Masjid dan gelang kuncinya di kawasan sai’e sebagai simbolik
kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuat rezekinya tertutup
buat selama-lamanya.
- Bersetubuh
dengan isteri di dalam Masjidil Haram supaya boleh mendapat anak yang
mudah masuk syurga.
- Orang
yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya
di dalam masjid dua kali dari arah penjuru emas sekali kerana
kepercayaan penjuru emas itu melambangkan kemaluan nabi Adam dan
sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar Aswad
melambangkan Sii Hawa.
- Kain
ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah
dikapankan dengan kain itu bagi menghindari diri dari siksaan kubur.
- Beli
khusus kain putih yang hendak dijadikan kapan dan basuh dahulu dengan
air zam-zam di Makkah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain
kapan dengannya. Mungkar Nangkir tidak berani memukul badan yang
dibalut dengan kain tersebut.
- Kalau
berlaku hujan maka mandilah di bawah curahan air dari pancuran emas
agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
- Tiang-tiang
masjid boleh dibeli untuk diwakafkan sekiranya ada orang yang
menawarkannya maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjadikan
masuk syurga.
- Mandi
bertelanjang di telaga Jakranah boleh memikat suami dan cepat mendapat
jodoh bagi yang belum bersuami. Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang
masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.
Kembali
ke atas
AMALAN
KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan
perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak
kerana disamping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang
dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk sepertimana
tersebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Setiap bidaah
itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan
amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada
Allah, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk
menghampirkan diri kepada Allah serta mensucikan diri dari segala dosa
dengan tujuan mendapatkan haji mabrur.
Kembali
ke atas
PUNCA
AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di
antara punca-puncanya adalah seperti berikut:
- Tidak
memenuhi asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana ia mudah
menerima ia mudah menerima perkara- perkara yang dianggap menarik
baginya.
- Mempelajari
dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
- Terikut-ikut
dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah
amalan yang betul.
- Sudah
terbiasa melayani nafsu amarah.
Kembali
ke atas
CARA-CARA
MENGHINDARINYA
- Bakal-bakal
haji hendaklah mempelajari hukum-hukum agama sebelum menunaikan haji.
- Jangan
mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui
puncanya.
- Sebarang
amalan yang diterima daripada orang yang walaupun diakui keilmuannya
tetapi jika diragui hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang
lain yang lebih berwibawa.
- Bertakwalah
kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
- Tunailah
haji semata-mata kerana Allah.
- Tanah
Suci Makkah bukanlah tempat berehat atau tempat meluahkan rasa marah
dengan sewenang-wenangnya.
- Perlu
diingatkan bahawa di dalam pekerjaan haji mesti ditempuhi
berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima dengan sabar.
Kembali
ke atas
TINGKAH
LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI
Selain
dari khurafat yang tersebut di atas ditambah pula dengan adanya
tingkahlaku buruk yang sering terdapat di kalangan jemaah haji umumnya
termasuk jemaah haji Asia Tenggara, menjadikan ibadah haji, ibadah yang
seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah. Sebagai contoh yang ketara,
berlakunya peristiwa Terowong Al-Muassim tahun 1990 beberapa tahun dahulu
dan peristiwa pijak memijak di atas jambatan Mina tahun 1994 yang semuanya
memakan kurban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya
tingkah laku buruk jemaah haji. Tingkah laku dan tutur kata manusia itu
adalah bayangan cermin peribadinya. Jika elok tingkah laku, berbudi bahasa
dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai diri, mulialah pekertinya.
Kalaulah ini benar-benar menjadi cermin diri maka alangkah buruknya
keadaan umat Islam ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi
ukuran yang utama pada nilai diri kita.
Di
Makkah, umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri
dan disiplin kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar,
bergaduh, tengking menengking, herdik- mengherdik, menolak, melanggar,
memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain, menyusahkan kawan,
memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu orang
bersembahyang, menyepak Al-Quran, meletak Quran di atas lantai, mengubah (
mengalih ) Al- Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan menggunakan segala
kekuatan untuk mencium batu hitam ( Hajar Aswad ). Memegang tangan
berangkai kuat untuk merempuh orang yang sedang solat dan tawaf. Perkara
yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk melontar. Segala
selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit tidak
diberi simpati, yang tua, uzur tidak dihirau dan berbagai-bagai perangai
lagi yang boleh dilihat. Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak
menjaga tutur kata walaupun ketika sedang tawaf dan sai’e masih
bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadat yang
sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja
diada-adakan di dalam perbualan-perbualan seolah-olah mereka bukan berada
di hadapan Allah di dalam ibadat yang syahdu. Kata mengata, caci mencaci
sering kedengaran sepanjang masa berada di Makkah dan Madinah. Seolah-olah
tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus berlaku
tanpa sebrang rasa takut kepada dosa yang diperbuat di Tanah Haram.
Semua
tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar berlaku
di kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajarnya kita menyedari perihal
tersebut dan cuba untuk menghindarinya.
Kembali
ke atas
BAGAIMANA
MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT
Masalah
akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak
yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah S.A.W diutuskan
Allah S.W.T untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.
Bagi
mengatasi masalah yang disebutkan tadi pendidikan kerohanian yang
menekankan kepada kebaikan akhlak perlu dititikberatkan oleh bakal-bakal
haji. Mereka hendaklah sentiasa membentuk diri dengan budi pekerti yang
mulia untuk dihayati sepanjang masa hidupnya. Lebih-lebih lagi ketika
menunaikan haji. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “
Barangsiapa yang ingin sangat hidup menjadi manusia yang terkuat maka
bertawakkallah kepada Allah. Barangsiapa yang ingin sangat hendak menjadi
manusia yang terkaya hendaklah menyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah
lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan sesiapa yang ingin
sangat menjadi manusia yang termulia hendaklah takut kepada Allah”.
Hadis
ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah, bertawakkal kepada
Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah
dan amat mengharapkan keredhaan-Nya, maka akan lahirlah budi pekerti yang
mulia untuk mereka di kalangan manusia.
Mengunjungi
Baitullah untuk menunai ibadah Haji adalah satu tuntutan syarak. Dari
ibadah itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk
manusia. Fadhilat Haji amatlah banyak. Salah satu ialah untuk mengingati
Allah. Oleh itu perbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah. Berzikir
kepada Allah di dalam masa Haji dan sesudahnya khusus di Arafah dan Mina
Salah
satu rahsia Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka
dari segala dosa, dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan
mungkar. Kalaulah umat Islam memahami dan menghayati tujuan tersebut
dengan sebaik-baiknya tentulah tidak akan berlaku perkara-perkara mungkar
di Tanah Suci. Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang
amat baik pekertinya. Tidak ada khurafat
berlaku dan tidak ada perkara-perkara negatif berlaku kerana
semuanya itu akan menyebabkan haji seseorang itu sia-sia. Rasulullah S.A.W
pernah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang mengerjakan haji dan
tidak melakukan perkara-perkara fasik maka kembalinya ke tanah airnya
nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.
Kembali
ke atas
PENUTUP
Usaha
untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu
diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari
diserapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.
Pengetahuan
tentang ibadat Haji adalah pengetahuan fardhu ain yang sepatutnya
diketahui oleh masyarakat umum. Perlu dipelajari dengan cara-cara yang
berkesan agar dengan ilmu yang mantap itu setiap yang pergi menunaikan
haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.
Ibadat-ibadat
dalam Islam adalah alat untuk mendidikan manusia. Jika dipergunakan ibadat
itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari sungguh-sungguh
daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah S.A.W
telah pun mempergunakannya untuk mendidik umat Islam di zamannya.
Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk
menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari
keikhlasan beribadat kepada Allah. Apabila difahami maksud dan tujuannya
dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul memimpin manusia ke
jalan yang diredhai Allah.
Semoga
Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah
memberi hidayat kepada kita untuk mencontohi akhlak Rasulullah
S.A.W.
Kembali
ke atas
|