|
Haji
| Haji Mabrur | Falsafah
Haji | Adab Haji | Sejarah
Haji | Kurafat
|
SEJARAH
HAJI
|
 |
Dari
segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi
kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah
Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun
ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah
Al-Imran yang bermaksud : “
Dan Allah Taala mewajibkan
manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa
yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan
ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak
berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk”.
Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W.
bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk
menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah
dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang
dinamakan perjanjian Hudaibiah.
Perjanjian itu membuka jalan bagi
perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ),
Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam.
Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji
dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar
Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.
Rasulullah S.A.W Menunaikan Haji
Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan
fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan “Hijjatul
Wada’/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal
kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat.
Baginda telah berangkat ke Madinatul
Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri
dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam. Baginda telah
menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram
di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada
Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil
masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah
dan bermalam di situ. Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah
yang jatuhnya pada hari Jumaat.
Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua
rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah,
Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju
balik ke Madinah Al-Munawwarah.
Peristiwa Semasa Hijjatul Wada'
Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa
penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah
berlaku, di antara ialah seperti berikut :
1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai
bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah
S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak
membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda
Baginda pada ketika itu bahawa “ Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari
kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah”.
3.
Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan “
Apakah itu Haji ?”. Sabdanya yang bermaksud “ Haji itu berhenti di
Arafah”. Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia
telah melaksanakan haji.
4.
Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud : “
Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah
cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama
untuk kami”
Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu
cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji
dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari
Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding
pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci
kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita
menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.
|