AMALAN KURAFAT DAN SIFAT-SIFAT TERCELA DI KALANGAN BAKAL-BAKAL HAJI
Terdapat
ramai umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk
mengerjakan haji. Malah ada yang tidak memahami walaupun pada
perkara-perkara yang asas. Akhirnya, apabila mereka mengerjakan haji
terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan kesempurnaan ibadah
tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan
jemaah yang kurang arif tentang ibadah itu dan malu hendak bertanya kepada
orang yang tahu.
Disamping
tidak mendalami hukum-hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan
tentang hukum-hakam dalam ibadat maka berlakulah campur-aduk amalan ibadah
haji di antara yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak
ditinggalkan dan yang batil dikerjakan. Yang batil seperti amalan-amalan
khurafat dilakukan dengan sebaik-baiknya, dengan kefahaman bahawa
amalan-amalan itu dituntut oleh syarak sedangkan yang sebenarnya adalah
sebaliknya.
Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak yang dicampurkan dalam ibadah haji terutama amalan khurafat yang diadakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi petua secara berbisik-bisik tanpa menggunakan sebarang kenyataan dari nas-nas yang muktabar tentang perkara yang disebutkan itu. Akhirnya amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun-temurun dari dahulu hinggalah sekarang.
PENGERTIAN
KHURAFAT
Di
dalam kamus Al-Marbawi khurafat bererti cerita karut atau karut-marut. Di
dalam tafsiran yang lain pula khurafat juga disebut sebagai percakapan
yang tidak betul sama sekali.
Secara umumnya khurafat bermaksud kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan untuk menutup satu keaiban tentang akan berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku. Dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala-bencana atau membawa tuah keuntungan.
KHURAFAT
SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH
Masyarakat
Jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya
khurafat. Di antara khurafat mereka ialah mempercayai kepada arah burung
yang berterbangan, memberi kesan kepada nasib mereka.
Orang-orang
Arab Jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau sedang dalam
perjalanan menuju sesuatu tempat tiba-tiba kedapatan burung yang melintasi
mereka maka dikaitkan dengan sesuatu
kepercayaan tertentu. Malah mereka meletak nama-nama tertentu pada
keadaan burung yang melintasi mereka.
Dari
nama-nama tersebut lahirlah tafsiran yang khusus ada bala dan bencana akan
menimpa, ada tuah, ada keuntungan yang akan berlaku dan sebagainya dan
mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung
tersebut. Masyarakat Jahiliah juga percaya bahawa jika burung hantu
menghinggapi dan berbunyi di atas sesebuah rumah maka ertinya salah
seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan sebegini
mengakibatkan penghuni rumah akan berdukacita yang tidak terhingga kerana
kematian akan menimpa.
Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat Melayu di Tenggara Asia yang terbawa-bawa dengan budaya Jahiliah hingga sekarang ini padahal semua itu adalah khurafat belaka.
KHURAFAT
MENODAI IBADAH HAJI
Ibadah
haji adalah suatu ibadah yng semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak
dicampur aduk dengan yang batil. Lebih-lebih lagi amalan khurafat
hendaklah dijauhi sama sekali kerana ianya boleh mencemarkan ibadah haji
daan menjadikannya ibadah yang sia-sia. Perlu diingat bahawa khurafat
boleh membawa kepada syirik kerana ianya penentu persoalan ibadah. Kalau
sudah iktikad rosak kerana khurafat maka orang yang rosak ibadahnya tidak
akan mendapat apa-apa kebaikan dari ibadahnya.
Namun
demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak
menyedari mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak
menunaikan haji dan ada pula yang melakukannya ketika mereka berada dalam
ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji itu sendiri. Kepada
golongan ini seolah-olahnya apa yang diajarkan kepada mereka oleh
tuan-tuan guru yang mengajar atau oleh pengkursus-pengkursus haji adalah
tidak lengkap dan tidak sempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan
mengada-adakan berbagai-bagai perbuaatan yang tidak diajar oleh
orang-orang berkenaan lalu mereka menerima pakai petua-petua dari orang
yang tidak bertanggungjawab.
Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah perkara besar yang mesti difahami dan diberi perhatian serius untuk menjauhinya. Umat Islam jangan mudah menerima pakai sesuatu perbuatan yang disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah amalan di dalam haji yang dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut diamalkannya. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan secara sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh atau tidak mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan menjauhkan yang khurafat.
PANDANGAN
ISLAM TERHADAP KHURAFAT
Di
dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan
kepada Allah dan menolak kepercayaan terhaadap yang selainnya bagi
mendapat kebaikan daan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan
dan keyakinan hanya Allah. Kepada-Nya seluruh makhluk bergantung. Firman
Allah yang bermaksud:
“
Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon
kepadanya selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehendaki
ke atasku sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari
kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu
dianugerahkan kepadaku apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu.
Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya.
Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakkal”. ( Surah Al-Zumar,
Ayat 38 )
Ayat
di atas memperlihatkan konsep tawakkal kepada Allah dalam semua keadaan.
Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan
segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu bukannya lintasan
burung atau sebagainya yang terdapat di dalam amalan khurafat.
Dari
Abu Hurairah R.A Rasulullah S.A.W
bersabda bermaksud:“
Tidak ada jangkitan ( yang berlaku tanpa izin Allah ), tidak ada buruk
sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak
ada bala pada bulan Safar ( seperti yang dipercayai ).”
Dari
Ibnu Mas’ud R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud:“
Buruk sangka ( di dalam amalan khurafat ) adalah syirik ( dua kali ) akan
tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.
Dari
Ibnu Amru R.A, katanya nabi pernah bersabda bermaksud: “ Sesiapa yang
kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu ( khurafatnya ) sehingga boleh
memesongkannya dari meneruskan hajatnya maka sesungguhnya ia telah syirik
( kepada Allah ). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang demikian itu.
Sabdanya: “ Hendaklah ia berkata Ya Allah tidak ada kebaikan melainkan
kebaikan Mu. Tidak ada yang buruk ( jahat ) melainkan kejahatan yang
datang dari Mu dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau”.
Semua
urutan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang tersebut jelas
memperlihatkan konsep baik, buruk hanya dari Allah. Allah yang mengatur
segala-galanya bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku
di dalam hidup ini yang boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan
kecelakaan manusia.
Khurafat adalah karut-marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-kepercayaan yang sedemikian menghantui umat Islam sehingga mencemarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka hanya kepada Allah seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud: “ Apabila kamu cekal bercita-cita ( maka teruskanlah ) dan bertawakkallah kepada Allah”.
KHURAFAT
DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA
Pengaruh
khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara
masih kedapatan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan
penghidupan. Di dalam perniagaan contohnya masih percaya kepada FONG SUAI.
Di dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari
rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gembala-gembala ikan dan
berbagai-bagai lagi.
Bukan sahaja di dalam rezeki ada berbagai-bagai khurafat, hatta ketika hendak melakukan ibadah kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadah haji.
KHURAFAT
DI TANAH AIR SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI
KHURAFAT
DI TANAH SUCI
AMALAN
KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan
perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak
kerana disamping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang
dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk sepertimana
tersebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Setiap bidaah
itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta mensucikan diri dari segala dosa dengan tujuan mendapatkan haji mabrur.
PUNCA
AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di
antara punca-puncanya adalah seperti berikut:
CARA-CARA
MENGHINDARINYA
TINGKAH
LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI
Selain
dari khurafat yang tersebut di atas ditambah pula dengan adanya
tingkahlaku buruk yang sering terdapat di kalangan jemaah haji umumnya
termasuk jemaah haji Asia Tenggara, menjadikan ibadah haji, ibadah yang
seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah. Sebagai contoh yang ketara,
berlakunya peristiwa Terowong Al-Muassim tahun 1990 beberapa tahun dahulu
dan peristiwa pijak memijak di atas jambatan Mina tahun 1994 yang semuanya
memakan kurban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya
tingkah laku buruk jemaah haji. Tingkah laku dan tutur kata manusia itu
adalah bayangan cermin peribadinya. Jika elok tingkah laku, berbudi bahasa
dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai diri, mulialah pekertinya.
Kalaulah ini benar-benar menjadi cermin diri maka alangkah buruknya
keadaan umat Islam ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi
ukuran yang utama pada nilai diri kita.
Di
Makkah, umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri
dan disiplin kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar,
bergaduh, tengking menengking, herdik- mengherdik, menolak, melanggar,
memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain, menyusahkan kawan,
memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu orang
bersembahyang, menyepak Al-Quran, meletak Quran di atas lantai, mengubah (
mengalih ) Al- Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan menggunakan segala
kekuatan untuk mencium batu hitam ( Hajar Aswad ). Memegang tangan
berangkai kuat untuk merempuh orang yang sedang solat dan tawaf. Perkara
yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk melontar. Segala
selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit tidak
diberi simpati, yang tua, uzur tidak dihirau dan berbagai-bagai perangai
lagi yang boleh dilihat. Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak
menjaga tutur kata walaupun ketika sedang tawaf dan sai’e masih
bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadat yang
sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja
diada-adakan di dalam perbualan-perbualan seolah-olah mereka bukan berada
di hadapan Allah di dalam ibadat yang syahdu. Kata mengata, caci mencaci
sering kedengaran sepanjang masa berada di Makkah dan Madinah. Seolah-olah
tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus berlaku
tanpa sebrang rasa takut kepada dosa yang diperbuat di Tanah Haram.
Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar berlaku di kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajarnya kita menyedari perihal tersebut dan cuba untuk menghindarinya.
BAGAIMANA
MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT
Masalah
akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak
yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah S.A.W diutuskan
Allah S.W.T untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.
Bagi
mengatasi masalah yang disebutkan tadi pendidikan kerohanian yang
menekankan kepada kebaikan akhlak perlu dititikberatkan oleh bakal-bakal
haji. Mereka hendaklah sentiasa membentuk diri dengan budi pekerti yang
mulia untuk dihayati sepanjang masa hidupnya. Lebih-lebih lagi ketika
menunaikan haji. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “
Barangsiapa yang ingin sangat hidup menjadi manusia yang terkuat maka
bertawakkallah kepada Allah. Barangsiapa yang ingin sangat hendak menjadi
manusia yang terkaya hendaklah menyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah
lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan sesiapa yang ingin
sangat menjadi manusia yang termulia hendaklah takut kepada Allah”.
Hadis
ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah, bertawakkal kepada
Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah
dan amat mengharapkan keredhaan-Nya, maka akan lahirlah budi pekerti yang
mulia untuk mereka di kalangan manusia.
Mengunjungi
Baitullah untuk menunai ibadah Haji adalah satu tuntutan syarak. Dari
ibadah itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk
manusia. Fadhilat Haji amatlah banyak. Salah satu ialah untuk mengingati
Allah. Oleh itu perbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah. Berzikir
kepada Allah di dalam masa Haji dan sesudahnya khusus di Arafah dan Mina
Salah satu rahsia Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka dari segala dosa, dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan mungkar. Kalaulah umat Islam memahami dan menghayati tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya tentulah tidak akan berlaku perkara-perkara mungkar di Tanah Suci. Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik pekertinya. Tidak ada khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara negatif berlaku kerana semuanya itu akan menyebabkan haji seseorang itu sia-sia. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara-perkara fasik maka kembalinya ke tanah airnya nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.
PENUTUP
Usaha
untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu
diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari
diserapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.
Pengetahuan
tentang ibadat Haji adalah pengetahuan fardhu ain yang sepatutnya
diketahui oleh masyarakat umum. Perlu dipelajari dengan cara-cara yang
berkesan agar dengan ilmu yang mantap itu setiap yang pergi menunaikan
haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.
Ibadat-ibadat
dalam Islam adalah alat untuk mendidikan manusia. Jika dipergunakan ibadat
itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari sungguh-sungguh
daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah S.A.W
telah pun mempergunakannya untuk mendidik umat Islam di zamannya.
Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk
menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari
keikhlasan beribadat kepada Allah. Apabila difahami maksud dan tujuannya
dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul memimpin manusia ke
jalan yang diredhai Allah.
Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi hidayat kepada kita untuk mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W.